Monday 13 February 2017

Keberkatan Ilmu Ulama Terdahulu


Tertarik dengan penerangan syeikh di dalam kelas sebentar tadi. Ketika mana beliau mengupas sepotong ayat dari muqaddimah kitab Rawd al-Murbi' - Sharh Zad al-Mustaqni, karangan al-Syeikh al-Imam Mansur bin Yunus bin Idris al-Buhuti, yang merupakan ulama yang terkemuka di dalam mazhab Hanbali.

mhrznsr

Syeikh al-Buhuti mensifatkan karangan beliau ini dengan kata,
"فهذا شرح لطيف على مختصر المقنع...."
 "maka (karangan) ini adalah penerangan yang tidak seberapa (kecil/biasa) untuk ringkasan kitab al-Muqni’(Zad al-Mustaqni)….”.
Merupakan kata yang sangat mendalam dan jelas terlihat di dalam penulisan ini kerendahan diri beliau. Walaupun jika dilihat menerusi hasil-hasil karya beliau yang ditinggalkan dan juga buah fikiran yang telah beliau sumbangkan kepada umat islam, sangatlah tiada bandingannya berbanding ulama-ulama pada zaman ini.
Ulama dahulu kala mengarang sebuah karya bukanlah tujuan mereka untuk meraih habuan duniawi yang menguntungkan, seperti gelaran Doktor, Professor dan sebagainya. Bukanlah tujuan mereka dalam penulisan untuk meraih ganjaran yang mengenyangkan perut mereka dan ahli keluarga mereka. Apalagi untuk meraih ribuan like atau follower seperti yang kita dapat lihat pada zaman sekarang ini, sangatlah jauh sekali.
Tetapi mereka menghasilkan sesebuah karya dengan tujuan untuk meraih keredhaan Allah s.w.t., dan seterusnya agar dapat memberi sedikit manfaat kepada umat Islam pada masa akan datang. Dengan niat ikhlas itu, Allah beri keberkatan pada setiap baris kata-kata yang ditulis oleh mereka dan pada setiap usaha yang telah mereka curahkan untuk Islam.
Jangan salah tafsir pula. Ini tidaklah bermakna kita perlu tinggalkan segala perkara keduniawi yang ada pada zaman ini. Juga tidaklah bermakna kita perlu berhenti melakukan kebaikan atau memberi manfaat dengan alasan agar tidak jatuh dalam jurang “tidak ikhlas”. Zaman sudah banyak berubah dan hukum pun boleh jadi berbeza. Teruskanlah berbuat kebaikan dan jadilah pencetus kepada orang lain dalam membuat kebaikan. Dalam waktu yang sama, marilah kita sama-sama perbetulkan niat.
Semoga Allah menjaga dan meluruskan niat kita dalam setiap perbuatan yang kita lakukan pada zaman yang penuh cabaran dan godaan ini. Semoga Allah juga memberikan keberkatan pada kehidupan dan umur kita yang tidaklah panjang ini. Jika ulama terdahulu dengan jangka hayat yang tidak panjang, tetapi dapat menghasilkan karya-karya yang luar biasa, kenapa kita tidak boleh atau paling kurangpun ada usaha untuk menuju ke arah itu.


Riyadh
13/2/2017

No comments: