Tuesday 21 February 2017

Kita Bersaudara Walaupun Kita Berbeza

TIDAK BOLEHKAH KITA UNTUK TETAP BERSAUDARA??
Imam Azzahabi pernah menyebut di dalam bukunya "Siyar A'lamin Nubala", ketika menceritakan kisah hidup gurunya, Imam As-Syafie rahimahullah ta'ala:

•Sesungguhnya beliau (imam As-Syafie) pernah berselisih pendapat dengan muridnya,Yunus ibn Abdil A'la di dalam suatu masalah.
Yunus ibn Abdil A'la berkata: Maka datanglah setelah itu Imam As-Syafie dan beliau mengetuk pintu rumahku. Setelah pintu dibuka, kemudian beliau merampas tanganku sambil berkata:
"!يا أبا موسى ألا يستقيم أن نكون إخواناً وإن لم نتفق في مسألة؟"
"Wahai Abu Musa (Yunus), tidak bolehkah kita untuk tetap bersaudara, walaupun kita tidak bersepakat di dalam suatu masalah!?"
Imam Az-Zahabi berkata : Ini menunjukkan sempurnanya akal imam ini(As-Syafie), dan masih setelah itu di kalangan para ulama berselisih pendapat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
~ما زلنا إخوانا وإن لم نتفق، ما دام الاختلاف يدور حول أقوال أئمة المذاهب المعتبرة.
~من كثر اطلاعه، قلّ اعتراضه
Barangsiapa yang banyak membaca dan banyak mengkaji, maka dia akan terlihat lebih berlapang dada dan lebih berhikmah. Bukanlah seperti sebahagian manusia yang baru baca sebaris tulisan, tetapi dalam bab melabel dan menyesatkan orang, mengalahkan ulama yang dah menghasilkan beratus-ratus buku.

#manfaat yang diambil dari muqoddimah buku Rof'ul Malam an A'immatil A'lam, karangan Syeikh al-Islam Ibn Taymiah rahimahullah.
mhrznsr

Monday 13 February 2017

Keberkatan Ilmu Ulama Terdahulu


Tertarik dengan penerangan syeikh di dalam kelas sebentar tadi. Ketika mana beliau mengupas sepotong ayat dari muqaddimah kitab Rawd al-Murbi' - Sharh Zad al-Mustaqni, karangan al-Syeikh al-Imam Mansur bin Yunus bin Idris al-Buhuti, yang merupakan ulama yang terkemuka di dalam mazhab Hanbali.

mhrznsr

Syeikh al-Buhuti mensifatkan karangan beliau ini dengan kata,
"فهذا شرح لطيف على مختصر المقنع...."
 "maka (karangan) ini adalah penerangan yang tidak seberapa (kecil/biasa) untuk ringkasan kitab al-Muqni’(Zad al-Mustaqni)….”.
Merupakan kata yang sangat mendalam dan jelas terlihat di dalam penulisan ini kerendahan diri beliau. Walaupun jika dilihat menerusi hasil-hasil karya beliau yang ditinggalkan dan juga buah fikiran yang telah beliau sumbangkan kepada umat islam, sangatlah tiada bandingannya berbanding ulama-ulama pada zaman ini.
Ulama dahulu kala mengarang sebuah karya bukanlah tujuan mereka untuk meraih habuan duniawi yang menguntungkan, seperti gelaran Doktor, Professor dan sebagainya. Bukanlah tujuan mereka dalam penulisan untuk meraih ganjaran yang mengenyangkan perut mereka dan ahli keluarga mereka. Apalagi untuk meraih ribuan like atau follower seperti yang kita dapat lihat pada zaman sekarang ini, sangatlah jauh sekali.
Tetapi mereka menghasilkan sesebuah karya dengan tujuan untuk meraih keredhaan Allah s.w.t., dan seterusnya agar dapat memberi sedikit manfaat kepada umat Islam pada masa akan datang. Dengan niat ikhlas itu, Allah beri keberkatan pada setiap baris kata-kata yang ditulis oleh mereka dan pada setiap usaha yang telah mereka curahkan untuk Islam.
Jangan salah tafsir pula. Ini tidaklah bermakna kita perlu tinggalkan segala perkara keduniawi yang ada pada zaman ini. Juga tidaklah bermakna kita perlu berhenti melakukan kebaikan atau memberi manfaat dengan alasan agar tidak jatuh dalam jurang “tidak ikhlas”. Zaman sudah banyak berubah dan hukum pun boleh jadi berbeza. Teruskanlah berbuat kebaikan dan jadilah pencetus kepada orang lain dalam membuat kebaikan. Dalam waktu yang sama, marilah kita sama-sama perbetulkan niat.
Semoga Allah menjaga dan meluruskan niat kita dalam setiap perbuatan yang kita lakukan pada zaman yang penuh cabaran dan godaan ini. Semoga Allah juga memberikan keberkatan pada kehidupan dan umur kita yang tidaklah panjang ini. Jika ulama terdahulu dengan jangka hayat yang tidak panjang, tetapi dapat menghasilkan karya-karya yang luar biasa, kenapa kita tidak boleh atau paling kurangpun ada usaha untuk menuju ke arah itu.


Riyadh
13/2/2017

Friday 13 June 2014

Info Pendaftaran Pondok Gontor Bagi Pelajar Malaysia



INFO PENDAFTARAN PONDOK MODERN DARUSSALAM GONTOR
BAGI PELAJAR MALAYSIA

Untuk memudahkan bagi warga Malaysia yang berniat untuk memasukkan anaknya ke Pondok Modern Darussalam Gontor, di sini saya kongsikan sedikit maklumat yang berkaitan dengan langkah-langkah yang perlu dibuat sebelum bertolak ke Gontor, ketika bertolak, sehinggalah ketika di sana nanti untuk proses pendaftaran.

Calon Pelajar Luar Negri di Gontor 2 pada tahun 2012


Langkah Pertama : Sebelum bertolak ke Gontor
Ketika ibubapa sudah yakin dan berazam untuk memasukkan anaknya ke Gontor dan anaknya juga setuju dengan keputusan itu, maka demikianlah langkah-langkah yang perlu diambil:
  1. Membuat passport di mana-mana Pejabat Imigresen Negeri. 
  2. Mendapatkan surat sponsorship dari Sekretariat Pondok Gontor. Ianya boleh didapatkan daripada Al-Ustadz Masruh Ahmad dengan memberikan maklumat peribadi dan passport pelajar dan pembayaran sebanyak RM100. 
  3. Membawa surat sponsorship, passport, IC, sijil kelahiran dan apa-apa yang berkaitan ke Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur untuk  mendapatkan Visa Kunjungan Sosial Budaya dan boleh mendapatkannya di hari yang sama bergantung kepada keadaan.
  4. Pembelian tiket kapal terbang untuk pergi ke Indonesia boleh dibuat jauh-jauh hari. Semakin cepat, semakin baiklah ia kerana tiket kapal terbang boleh dibeli dengan harga yang murah. Tetapi sebelum beli dinasihatkan untuk berbincang dengan ibubapa yang lain yang ingin menghantarkan anaknya juga ke Gontor. Sehingga tidaklah bersendirian ketika dalam perjalanan ke Gontor nanti.
  5. Ibubapa dinasihatkan untuk membuka akaun Bank Muamalat Indonesia di Kompleks Antarabangsa, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur atas nama ibu atau bapa. Buku akaun tersebut akan dipegang oleh ibubapa, manakala pelajar hanya akan membawa kad ATM sahaja ke Gontor.
  6. Mempersiapkan calon pelajar dengan pelajaran-pelajaran yang akan diuji ketika Ujian Masuk Gontor nanti, ujian lisan mahupun ujian tulis. Bagi yang lulus akan dimasukkan ke Gontor 1 ataupun ke pondok cabangnya, manakala yang gagal tidak akan ditampung oleh Gontor pada tahun itu. Calon boleh mencuba untuk tahun yang berikutnya. 
  7. Mempersiapkan seluruh dokumen yang diperlukan untuk proses pendaftaran di Gontor dan salinan-salinan perlu disahkan oleh pihak yang berwenang.


Langkah Kedua : Menjelang pemberangkatan ke Gontor
Langkah-langkah ini boleh mula diambil pada bulan Ramadhan ataupun sebelumnya:
  1. Membeli barang-barang keperluan dari segi berpakaian, peralatan, alat tulis dan lain-lain. Demikian sebahagian barang yang dicadangkan: (untuk Putra):
a.       Baju kemeja kosong lengan pendek ataupun lengan panjang sebanyak 3 helai (yang tidak bergaris-garis atau berkotak-kotak). Tidak boleh warna yang mencolok mata seperti warna hitam, merah, kuning terang dan lain sebagainya. Pilihan warna yang cerah lebih diutamakan seperti warna biru, coklat dan lain sebagainya. 
b.      Baju kemeja putih berlengan panjang satu pasang.
c.       Baju melayu 2 helai.
d.      T-shirt kosong yang tidak berkolar dan tidak bergambar besar sebanyak 4 helai (logo kecil seperti lambang "polo" diperbolehkan). Tatacara pemilihan warna untuk t-shirt sama seperti kemeja.
e.       Seluar slack sebanyak 4 pasang bewarna gelap seperti hitam, biru dan lain sebagainya. Tidak boleh yang bergetah di bahagian pinggang.
f.       Seluar jeans tidak dibenarnya sama sekali.
g.      Tracksuit yang bewarna gelap sebanyak 2 pasang. Wajib yang bergetah di bahagian kakinya.
h.      Tali pinggang kulit bewarna hitam yang sederhana. Warna selain hitam tidak dibenarkan.
i.        Kasut kulit hitam 1 pasang.
j.        Kasut sukan 1 pasang untuk kegiatan jogging.
k.      Peralatan alat tulis. Boleh lebihkan sedikit pen hitam untuk dibawa.
l.        Songkok hitam. Di Gontor tidak memakai kopiah.
m.    Kain pelekat sebanyak 2 helai.
n.      Peralatan mandi seperti sabun, ubat gigi, berus gigi, baldi, gayung dan lain-lain boleh dibeli di sana.
o.   Kunci mangga berukuran sederhana sebanyak 1 buah (tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar).
p.   Buku pelajaran tidak perlu dibawa kecuali untuk matapelajaran yang akan diujikan ketika ujian masuk nanti.
q.   Jaket yang tidak bergambar besar di bahagian depan dan belakang jaket. Tidak pula yang menggambarkan mana-mana parti potitik dan lain sebagainya. Juga jaket yang tidak ada penutup kepala.
r.      Selebihnya boleh dibeli di sana.

Barang-barang yang perlu dibawa( untuk putri ):
1.      Baju kurung/jubah/blouse panjang paras paha sebanyak 3 helai.(baju harian)
2.      T-shirt muslimah lengan panjang dan panjang sampai paras paha serta  tidak bergambar(kartun dll) sebanyak 3 helai.
3.      Seluar tracksuit(sukan) berwarna gelap dan bergetah pada bahagian kaki.
4.      Pakaian dalam seperti : singlet warna putih  & kain dalam sebanyak 3 helai.
5.      Kasut kulit warna hitam bertumit (2/3inci) sepasang.
6.      Kasut sukan sepasang.
7.      Seliper.
8.      Stokin warna putih panjang sampai betis (u/ sekolah), Warna hitam panjang sampai betis (u/ pramuka).
9.      Scarft (anak tudung).tudung boleh beli disana.
10.  Telekung.
11.  Sejadah.
12.  Peralatan tulis.
13.  Peralatan mandi.(gayung & baldi boleh beli disana).
14.  Selimut,sarung bantal & alas tilam.
15.  Kunci almari ukuran sederhana (1/2 buah).
16.  Al-Quran ukuran sederhana(tidak besar dan tidak kecil).
17.  Pin peniti/jarum.

Dilarang membawa:
1.      Barang kemas.(cincin,gelang,rantai dll except subang).
2.      Jam tangan berukuran besar.
3.      Alat elektronik.
4.      Pakaian diperbuat dari jeans (seluar/skirt dll) dan yang bergambar.

NOTE:
- Pakaian boleh dibawa lebih dari 3 helai tetapi tidak melebihi dari 5/6 helai serta tidak nipis & ketat .
-Seragam(uniform) beli disana.
 
2.      Semua barang-barang kepunyaan peribadi perlu diberi tanda dengan marker permanent sehingga tidak hilang dan tidak tertukar.
3.      Membawa marker permanent bewarna hitam dan putih (atau yang lainnya).
4.      Merapikan lagi dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran di sana nanti di dalam satu fail dan sediakan juga salinan yang banyak tiap-tiap dokumen. Dokumen asli seperti IC, Sijil kelahiran boleh dibawa balik kembali oleh ibubapa setelah proses pendaftaran kelak kerana ia tidak diperlukan dan ditakutkan akan hilang nantinya.
5.      Memantapkan lagi persiapan untuk menghadapi ujian masuk ke Gontor.
6.      Memastikan lagi tempat penginapan untuk ibubapa disana kerana Wisma Darussalam, hotel penginapan terletak berhampiran Gontor akan diyakini penuh. Manakala tempat tinggal untuk para pelajar tidak perlu risau kerana ianya akan disediakan terus setelah proses pendaftaran.

Langkah Ketiga : Pemberangkatan ke Gontor
1.      Tiba di airport awal.
2.      Airport yang dekat dengan Gontor:
a.       Airport Adi Sumarmo, Solo
b.      Airport Adi Sucipto, Yogyakarta
c.       Airport Juanda, Surabaya
3.      Ketika tiba di Indonesia, boleh menaiki teksi terus ke Gontor ataupun kalau ada kenalan boleh minta untuk dijemput di sana.


Langkah Keempat : Pendaftaran di Gontor
Ketika tiba di Gontor, para pelajar akan diturunkan terus di tempat pendaftaran. Setelah selesai urusan pendaftaran, para pelajar akan diberikan bilik masing-masing dan tinggal bersama calon-calon pelajar lain. Setelah selesai urusan pendaftaran dan lain sebagainya, calon-calon pelajar kembali focus untuk menghadapi ujian lisan pada waktu yang telah ditetapkan ketika pendaftaran iaitu sebelum 11 Syawwal. Manakala ujian tulis akan diadakan serentak pada 11 Syawwal pagi di tempat yang akan ditentukan nanti. Keputusan ujian akan diketahui sekitar 4 hari selepas ujian.

Ada Ibubapa yang tunggu sehingga keluarnya keputusan ujian dan ada juga yang tinggalkan terus anaknya tanpa menunggu keputusan. Jika ada yang tinggalkan terus anaknya di Gontor, boleh meminta bantuan kepada ustadz-ustadz pembimbing, ataupun kepada para pelajar yang ibubapa kenali nanti di sana. In sha Allah banyak ustadz dan pelajar malaysia yang berada di sana yang bersedia untuk membantu calon-calon pelajar nanti.  





DOKUMEN-DOKUMEN YANG PERLU DIBAWA
Di sini saya saya ringkaskan lagi dokumen-dokumen yang perlu dibawa ke Gontor untuk proses pendaftaran: 
  1.  5 salinan sijil atau surat berhenti sekolah atau kedua-duanya sekali (perlu pengesahan) 
  2.  5 salinan sijil kelahiran (perlu pengesahan) 
  3. 5 salinan kad pengenalan pelajar. 
  4.  5 salinan kad pengenalan ibu bapa/ yang mewakilinya
  5. 2 salinan kartu keluarga (surat nikah ibubapa) untuk pelajar putri
  6. 12 keping gambar berukuran passport (latar belakang biru)
  7. 8 keping gambar berukuran 4x6 (latar belakang biru) 
  8.  4 keping gambar berukuran 3x4 (latar belakang biru) 
  9.  5 salinan sijil UPSR, PMR dan SPM (bagi yang memilikinya)(hanya saranan saya)
NB:
  •  Semua salinan perlu disahkah oleh pihak yang berwenang.
  • Semua gambar perlu dicetak dengan latar belakang bewarna biru. Bagi yang putri wajib gambar dengan pelajar yang bertudung putih.
  •  Jumlah salinan di atas adalah saranan saya sahaja. Boleh bawa dengan jumlah yang diperlukan sahaja ataupun bawa lebih dari yang disarankan.




JUMLAH DUIT YANG DIPERLUKAN


No
Keterangan
Jumlah
Rupiah
Ringgit
1
Pembayaran surat sponsorship dari Gontor -Ust Masruh

RM 100
2
Pembayaran Visa Kunjungan Sosial Budaya -Kedutaan Indonesia

RM 170
3
Pembayaran urusan perpanjangan visa VKSB 4 kali dan ITAS 1 kali untuk tahun pertama- Pembimbing Konsulat Luar Negri
Rp 3.000.000
RM 900 (anggaran)
4
Total yuran pendaftaran pelajar baru
Rp 4.450.000
RM 1300
5
Buku sekolah, almari, tilam, bantal, keperluan asrama, belanja untuk 3 bulan pertama, peralatan pramuka dan lain-lain.

RM 1000 (anggaran)
NB:
  •         Pertukaran wang ke Ringgit di atas adalah anggaran dari saya sendiri. 
  •         Ini tidak termasuk biaya pembelian tiket kapal terbang, transport dari airport ke Gontor, penginapan ibubapa selama di Indonesia dan lain-lain yang saya terlepas pandang.
  •          Yuran pendaftaran pelajar baru yang tertulis di atas sudah termasuk yuran makan dan sekolah untuk bulan pertama iaitu bulan Syawwal. Untuk bulan yang selanjutnya, ibubapa perlu membayar duit yuran makan dan sekolah sahaja sebanyak Rp. 550.000 per bulan.
  •          Ketentuan biaya dapat berubah sewaktu-waktu.
  • Pendaftar yang belum lulus Ujian Masuk dapat mengambil kembali semua pembiayaan selain duit makan yang telah dipakai, sumbangan pembangunan, duit kepanitiaan Bulan Syawwal dan organisasi.
  • Yuran pengurusan visa untuk tahun kedua dan selanjutnya  adalah sebanyak Rp 1.000.000 sahaja. Untuk tahun pertama sahaja perlu membayar sebanyak 3 juta rupiah seperti yang telah tertulis di jadwal atas. 
  • Untuk detail lengkap tentang yuran pendaftaran pelajar baru boleh disemak di link ini. http://muhasabahdiribersama.blogspot.com/2014/06/info-pendaftaran-kmi-gontor.html



Pelaksanaan Ujian Masuk KMI dan Materi Ujian
  1. Ujian Masuk KMI meliputi ujian syafahi (ujian lisan) dan ujian tahriri (ujian tulis). Materi ujian syafahi meliputi psyco-test, membaca Al-Qur’an, Tajwid, dan praktik ibadah (ibadah qauliyah dan ibadah ‘amaliyah). Sedangkan materi ujian tahriri mencakup Imla’ (dikte tulisan Arab), Bahasa Indonesia, Berhitung Soal dan Angka (Matematika dasar setara kelas 6 Sekolah Rendah).
  2. Tidak ada perbezaan antara materi ujian yang diujikan kepada calon pelajar lulusan Sekolah Rendah (sederajat) dengan calon pelajar yang berasal dari lulusan Sekolah Menengah (sederajat).
No
Bentuk Ujian
Pelajaran yang diuji
1
Syafahi (Lisan)/ Oral examination
(diadakan mengikut giliran pada tanggal 23-27 Ramadhan 1435 dan 3-10 Syawwal 1435 untuk capel putra; tanggal 23-27 Ramadhan 1435 dan 3-14 Syawwal 1435 untuk capel putri)
Giliran untuk mengikuti ujian lisan akan ditentukan setelah proses pendaftaran tepat)

·         Psyco-test
·         Baca Al-Qur’an
·         Tajwid
·         Praktik ibadah (Qauliah dan Amaliyah)
2
Tahriri (Tulis)/ Written examination
(diadakan serentak pada 11 Syawwal pagi hari untuk capel putra dan 15 Syawwal pagi hari untuk capel putri)
·         Berhitung angka
·         Berhitung soal
·         Bahasa Indonesia
·         Imlak (dikte tulisan Arab)

NB: Dalam pelaksanaan Ujian Masuk KMI tidak diadakan ujian ulangan/susulan (waktu pelaksanaan ujian bisa berubah sewaktu-waktu).



Contoh soalan:
A. Ujian Syafahi:
1. Ibadah Qowliyah



1. Berhitung Angka

2. Berhitung Soal



3. Bahasa Indonesia

NB: 
  • Berikut hanyalah sekadar contoh soalan yang akan diujikan. Tidak ada kemestian bahwa soalan akan keluar dalam bentuk yang sama atau tidak. Boleh dibuat sekadar rujukan calon-calon pelajar malaysia.
Pengalaman pertama memulakan perjalanan ke Gontor pada 12 November 2005

  Alamat dan Contact Person:

1. Al-Ustadz Masruh bin Ahmad :
    Alamat : No 9, Lot 1672, Jalan Qiraati Off, Jalan Nazir, 43000, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang Selangor.
    No. Hp : 0105080137

2. Bank Muamalat Indonesia.
    Alamat: G23, Ground Floor, Kompleks Antarabangsa, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
    No Telp: 03-2711 0807

3. Embassy of The Republic of Indonesia
    233, Jalan Tun Razak, 50400, Kuala Lumpur.
    Telp : 03-2142 1354
    Fax : 03-2141 7908 / 03-2142 3878

4. Pondok Modern Darussalam Gontor I
    Alamat Desa Gontor Mlarak, Ponorogo 63472, Jawa Timur, Indonesia.
    Telp: 0352-311711, 311911.

5. Kantor KMI Gontor Putra 1
    Telp : 0352 488920

6. Kantor KMI Gontor Putri 1
    Telp : 0351 673261



Jika ada maklumat yang tidak lengkap ataupun yang tersalah. Anda sangat dialu-alukan untuk memberitahu saya di ruang komen. Sebelum itu saya minta maaf jika ada tersalah kata atau terkasar bahasa. Syukron, Wassalam.

Muhammad Hariz bin Muhammad Nasir
Alumni Gontor 2011
Hulu Kelang, Kuala Lumpur.
13 Jun 2014