Tuesday 21 February 2017

Kita Bersaudara Walaupun Kita Berbeza

TIDAK BOLEHKAH KITA UNTUK TETAP BERSAUDARA??
Imam Azzahabi pernah menyebut di dalam bukunya "Siyar A'lamin Nubala", ketika menceritakan kisah hidup gurunya, Imam As-Syafie rahimahullah ta'ala:

•Sesungguhnya beliau (imam As-Syafie) pernah berselisih pendapat dengan muridnya,Yunus ibn Abdil A'la di dalam suatu masalah.
Yunus ibn Abdil A'la berkata: Maka datanglah setelah itu Imam As-Syafie dan beliau mengetuk pintu rumahku. Setelah pintu dibuka, kemudian beliau merampas tanganku sambil berkata:
"!يا أبا موسى ألا يستقيم أن نكون إخواناً وإن لم نتفق في مسألة؟"
"Wahai Abu Musa (Yunus), tidak bolehkah kita untuk tetap bersaudara, walaupun kita tidak bersepakat di dalam suatu masalah!?"
Imam Az-Zahabi berkata : Ini menunjukkan sempurnanya akal imam ini(As-Syafie), dan masih setelah itu di kalangan para ulama berselisih pendapat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
~ما زلنا إخوانا وإن لم نتفق، ما دام الاختلاف يدور حول أقوال أئمة المذاهب المعتبرة.
~من كثر اطلاعه، قلّ اعتراضه
Barangsiapa yang banyak membaca dan banyak mengkaji, maka dia akan terlihat lebih berlapang dada dan lebih berhikmah. Bukanlah seperti sebahagian manusia yang baru baca sebaris tulisan, tetapi dalam bab melabel dan menyesatkan orang, mengalahkan ulama yang dah menghasilkan beratus-ratus buku.

#manfaat yang diambil dari muqoddimah buku Rof'ul Malam an A'immatil A'lam, karangan Syeikh al-Islam Ibn Taymiah rahimahullah.
mhrznsr

Monday 13 February 2017

Keberkatan Ilmu Ulama Terdahulu


Tertarik dengan penerangan syeikh di dalam kelas sebentar tadi. Ketika mana beliau mengupas sepotong ayat dari muqaddimah kitab Rawd al-Murbi' - Sharh Zad al-Mustaqni, karangan al-Syeikh al-Imam Mansur bin Yunus bin Idris al-Buhuti, yang merupakan ulama yang terkemuka di dalam mazhab Hanbali.

mhrznsr

Syeikh al-Buhuti mensifatkan karangan beliau ini dengan kata,
"فهذا شرح لطيف على مختصر المقنع...."
 "maka (karangan) ini adalah penerangan yang tidak seberapa (kecil/biasa) untuk ringkasan kitab al-Muqni’(Zad al-Mustaqni)….”.
Merupakan kata yang sangat mendalam dan jelas terlihat di dalam penulisan ini kerendahan diri beliau. Walaupun jika dilihat menerusi hasil-hasil karya beliau yang ditinggalkan dan juga buah fikiran yang telah beliau sumbangkan kepada umat islam, sangatlah tiada bandingannya berbanding ulama-ulama pada zaman ini.
Ulama dahulu kala mengarang sebuah karya bukanlah tujuan mereka untuk meraih habuan duniawi yang menguntungkan, seperti gelaran Doktor, Professor dan sebagainya. Bukanlah tujuan mereka dalam penulisan untuk meraih ganjaran yang mengenyangkan perut mereka dan ahli keluarga mereka. Apalagi untuk meraih ribuan like atau follower seperti yang kita dapat lihat pada zaman sekarang ini, sangatlah jauh sekali.
Tetapi mereka menghasilkan sesebuah karya dengan tujuan untuk meraih keredhaan Allah s.w.t., dan seterusnya agar dapat memberi sedikit manfaat kepada umat Islam pada masa akan datang. Dengan niat ikhlas itu, Allah beri keberkatan pada setiap baris kata-kata yang ditulis oleh mereka dan pada setiap usaha yang telah mereka curahkan untuk Islam.
Jangan salah tafsir pula. Ini tidaklah bermakna kita perlu tinggalkan segala perkara keduniawi yang ada pada zaman ini. Juga tidaklah bermakna kita perlu berhenti melakukan kebaikan atau memberi manfaat dengan alasan agar tidak jatuh dalam jurang “tidak ikhlas”. Zaman sudah banyak berubah dan hukum pun boleh jadi berbeza. Teruskanlah berbuat kebaikan dan jadilah pencetus kepada orang lain dalam membuat kebaikan. Dalam waktu yang sama, marilah kita sama-sama perbetulkan niat.
Semoga Allah menjaga dan meluruskan niat kita dalam setiap perbuatan yang kita lakukan pada zaman yang penuh cabaran dan godaan ini. Semoga Allah juga memberikan keberkatan pada kehidupan dan umur kita yang tidaklah panjang ini. Jika ulama terdahulu dengan jangka hayat yang tidak panjang, tetapi dapat menghasilkan karya-karya yang luar biasa, kenapa kita tidak boleh atau paling kurangpun ada usaha untuk menuju ke arah itu.


Riyadh
13/2/2017