Wednesday 11 September 2013

Bismillah, Bermula Hidup Sebagai Mahasiswa "TAJDIDUN NIYYAH"

International Islamic University Malaysia
IIUM Main Campus
Segala puji bagi Allah, yang telah membuka hatiku untuk kembali menulis sesuatu di blog ku ini. Sebenarnya diri rasa sangat berdosa kerana lama tidak menghasilkan sebarang tulisan di sini. Ya Allah, ampunkanlah daku atas segala dosa-dosa yang telah ku buat secara terang-terangan maupun tersembunyi, secara sengaja maupun tidak sengaja. Tapi in sha Allah, aku akan mula untuk rajin menulis bermula sekarang.

"TAJDIDUN NIYYAH"

 Itulah yang selalu dilafazkan oleh para ustadz dan senior ku di Gontor dahulu. Dalam apa-apa perkara sekalipun, kita perlu menitikberatkan dalam perkara niat. Ini dikeranakan niat akan menentukan bagaimana hasil sebuah pekerjaan itu. Adakah ia berlandaskan "Lillahi Ta'ala" atau hanya kepentingan duniawi sahaja. Malanglah bagi sesiapa yang melakukan suatu pekerjaan hanya berlandaskan kepentingan duniawi sahaja. Jida kita niat melakukan sesuatu kerana Allah s.w.t semata-mata, maka kita akan mendapatkan hasil dan manfaat untuk dunia dan akhirat. Tetapi barangsiapa yang melakukan sesuatu hanya kerana kepentingan dunia, maka kita mungkin hanya akan mendapat manfaat di dunia sahaja. Apakah bermakna balasan yang kita dapat di dunia ini? Sesungguhnya balasan akhirat lebih bermakna daripada balasan di dunia.

Di akhirat kelak, satu ganjaran pahala sahaja sangatlah bermakna dan boleh menjadikan kita kaya. Begitu juga sebaliknya, dengan satu dosa boleh menjadi sebab kita masuk ke dalam neraka. Wa Na'uzubillahi min zalik.

Kadang-kadang, niat kita boleh berubah dan terpesong dari tujuan sebenar. Itu adalah sesuatu yang mungkin boleh terjadi kerana kita sebagai seorang manusia yang penuh dengan kesilapan. Tetapi yang perlu dititikberatkan di sini adalah, adakah kita memperbaiki niat kita dengan segera atau tidak? Segeralah memperbaharui niat kita jika ia masih terpesong jauh dari tujuan utama.

كل بني آدم خطاء فخير خطائين التوابون
"Setiap anak Adam ada kesilapan, tapi sebaik-baik kesilapan adalah Taubat"

Dr Ala'a Hosni, salah satu pensyarahku di UIA berpesan, "Setiap kali kalian semua masuk ke dalam kelas ini, maka lafazkanlah Astagfirullah al-Azim, Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku. Semoga Allah mempermudah kalian dalam memahami pelajaran yang akan saya sampaikan di dalam kelas nanti".

Semoga Allah sentiasa menjadikan kita dari orang-orang yang diterima taubatnya walaupun kita seringkali mengulang kesilapan yang sama. Semoga Allah sentiasa menjadikan kita dari orang-orang yang sentiasa memperbaiki dan memperbaharui niat walaupun kita seringkali leka.

12.14 AM, Thursday, 12 of September 2013