Friday, 16 November 2012

Tahun baru, Semangat baru, Perubahan harus berlaku

بسم الله الرحمن الرحيم
Bismillahirrahmanirrahim.

Sempena tahun baru hijriah 1434 H yang bertepatan dengan 15 November 2012. Aku berhasil membuat blog ini untuk aku kongsikan bersama ilmu-ilmu yang telah aku dapatkan selama aku hidup di muka bumi ini. Sebelum membuat blog ini, apa yang terpendam, apa yang terlintas di dalam hati tu dan apa yang di fikirkan di dalam otakku ini, insya Allah akan ku kongsikan bersama untuk kita ambil manfaat, iktibar dan pengajaran darinya.

Pada hari Jumaat, 21 September 2012 yang bertepatan 5 Dzulqoidah yang lalu, merupakan hari pertama aku masuk ke dalam Maahad Tahfiz Masjid Arriduan, Ulu Kelang, Kuala Lumpur. Amatlah bersyukur kerana dapat diterima menjadi pelajar di sekolah tahfiz itu. Menghafal Al-Qur'an adalah cita-cita dan keinginanku sejak berada di Gontor lagi, Di Pondok Modern Darussalam Gontor, aku telah bersungguh-sungguh untuk hafal Al-Qur'an sendiri disebabkan di sana tidak ada kegiatan wajib menghafal Al-Quran. Maklumlah kerana di Gontor memang sudah diberikan banyak aktiviti dan kesibukan yang lain, di samping diberi tanggungjawab yang bermacam-macam. Amatlah susah untuk menyempat diri untuk menghafal Al-Quran. Sampailah aku menjadi Ustadz di Gontor, hanya juzuk 1 yang berjaya aku hafalkan. Kata orang memang susah kalau tidak ada ustadz untuk menyemak dan mendisiplinkan hafalan kita.

Akhirnya sekarang hampir 2 bulan aku belajar di sekolah tahfiz itu dan alhamdulillah 4 juzuk sudah berjaya aku hafalkan. Disebabkan di Gontor telah dibiasakan untuk berkata-kata dalam bahasa Arab. Alhamdulillah ketika aku menghafal Al-Qur'an sehelai demi sehelai dan dapat memahami satu persatu ayat. Banyak hikmah, cerita para Anbiya' dan rahsia yang terdapat di dalam Al-Qur'an. Setiap hari aku akan menambah hafalanku sekurang-kurangnya 1 helai. Dan setiap hari juga apa yang aku fahami dari apa yang aku hafalkan itu membuatku berfikir panjang memahami akan kebesaran Allah s.w.t. Itulah salah satu sebab dan tujuan aku membuat blog ini. Setelah aku memahami dan menghafal Al-Qur'an sedikit demi sedikit, insya Allah aku akan kongsikannya di sini supaya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "بلـّغوا عني ولو آية"


Rasullullah s.a.w pernah bersabda : Sampaikanlah apa yang berkaitan denganku walaupun hanya satu ayat.

Hadith Rasul yang menerangkan tentang wajib untuk menyampaikan ilmu ketika ditanya oleh orang lain. Antaranya adalah:-

Hadis ‘Abdullah bin Mas’ud melalui tariq Abu al-Ahwas:

حدثنا محمد بن الفضل السقطي ثنا إبراهيم بن زياد سبلان ثنا سوار بن مصعب عن أبي إسحاق عن أبي الأحوص عن عبد الله قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : من سئل عن علم فكتمه ألجم يوم القيامة بلجام من نار

Daripada ‘Abdullah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya pasti dia akan dikenakan dengan kekangan dari api neraka pada hari Kiamat.” (al-Mu’jam al-Kabir, jil. 10, hal. 102)

Hadis Ibn ‘Abbas melalui tariq Sa’id bin Jubayr:

وَقَالَ أَبُو يَعْلَى الْمَوْصِلِيُّ : حَدَّثَنَا زُهَيْرٌ ، حَدَّثَنَا يُونُسُ بْنُ مُحَمَّدٍ ، حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ ، عَنْ عْبَدِ الأَعْلَى ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم : مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مُلَجَّمًا بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ ، وَمَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مُلَجَّمًا بِلِجَامٍ مِنَ النَّارِ.

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya pasti dia akan datang pada hari Kiamat dengan keadaan dikekang dengan kekangan dari api neraka. Sesiapa yang memberikan pendapat tentang al-Qur`an tanpa sebarang ilmu maka pasti dia akan datang pada hari Kiamat dalam keadaan dikekang dengan kekangan dari api neraka.” (Musnad Abi Ya’la al-Musili, lihat juga Hafiz Ibn Hajar, Ithaf al-Khayarah al-Maharah, jil. 1, hal. 255).


No comments: