Sunday, 17 February 2013

Kekufuran yang selalu kita lakukan tanpa disedari

Kenapa kita melihat diri kita lebih baik dari orang lain?

Berjaga-jagalah wahai orang yang hendak menuju kpd Allah. Jangan kita melihat orang yang berdosa atau orang yang melakukan kemaksiatan dengan pandangan penghinaan. Itu adalah suatu keadaan yang sangat bahaya bagi diri kita. Pandangan sebegini adalah yang dilarang kerana ia akan memberi kesan pada hati dan akan menzalimi hati disebabkan oleh pandangan sedemikian. Menyebabkan hati kita menjadi gelap disebabkan perbuatan kita ini

Ada suatu kisah tentang dua orang kaum bani israil. Salah seorang dari mereka adalah seorang pemuda dari bani israil iaitu seorang abid yang selama 500 tahun hanya beribadah sahaja kepada Allah dan seorang fasik dari bani israil yang tidak pernah taat langsung kepada Allah. Seorang ini datang dari satu arah dan seorang yang lain pula datang dari arah yang lain.


Ketika mana kedua-dua mereka ini melihat sesama mereka, berpalinglah kedua-dua mereka antara satu sama lain.

Tetapi atas sebab apa mereka berdua berpaling?

Ahli ibadah ini berpaling atas sebab keangkuhannya terhadapat orang yang bermaksiat itu. Dia melihat dirinya lebih mulia atas sebab ibadahnya. Ahli ibadah ini berbangga dengan amalan ibadahnya.

Tetapi orang yang bermaksiat itu pula berpaling dari ahli ibadah atas sebab apa?

 Kerana dia malu dengan Allah

“Astagfirullah al azim, siapalah aku ini untuk berjumpa dengan seorang yang baik lagi mulia, sedangkan aku ini orang yang fasik”

Maka ketika abid yang angkuh ini bertembung dengan orang fasik tadi kemudian dia berpaling dari si fasik itu kerana takabbur. Maka ketika itu juga, awan yang berada di atas si abid itu terus meninggalkannya dan mengikuti si fasik lalu menaunginya selepas itu.

Apakah sebabnya?

Kerana abid yang angkuh ini memandang seseorang hamba yang hina dengan pandangan penghinaan.

Tidak dibenarkan bagi kita menghina seseorang. Hinalah maksiat tapi jangan kamu menghina si pelaku maksiat. Hinalah kekufuran tapi jangan kamu menghina si kafir. Kerana hakikat yang telah dihinakan kepada kafir itu adalah hakikat kekufuran.

Apakah hakikat kekufuran?

Hakikat kekufuran adalah yang mati dalam kekufuran. Sesungguhnya kita tidak tahu keadaan yang bagaimana seseorang akan mati. Jadi kita langsung tidak dibenarkan menghina seseorang pun dari makhluk Allah.

Marilah kita perbaiki diri kita masing-masing termasuk diri saya sendiri. Adakah kita termasuk dari kalangan abid yang angkuh itu?

Saya yakin banyak di antara kita yang selalu memandang seseorang dengan pandangan penghinaan tanpa kita sedari. Contohnya:

“ Budak tu tak insaf-insaf ke? Tak sedar diri betul”

“ Kenapalah malas sangat budak tu?!”

Betulkan seperti ini yang kita selalu ucapkan atau yang semisal dengannya?

Sama ada ucapan ini dari mulut kita atau sekadar kita ucapkan di dalam hati kita.

Ucaplah” Astagfirullah al-Azim”

“Ya Allah, janganlah kau siksa kami jika kami lupa atau kami salah”
ربنا لا تؤاخذنا إن نسينا أو أخطأنا
 

No comments: