Tertarik
dengan penerangan syeikh di dalam kelas sebentar tadi. Ketika mana beliau mengupas
sepotong ayat dari muqaddimah kitab Rawd al-Murbi' - Sharh Zad al-Mustaqni,
karangan al-Syeikh al-Imam Mansur bin Yunus bin Idris al-Buhuti, yang merupakan
ulama yang terkemuka di dalam mazhab Hanbali.
Syeikh al-Buhuti mensifatkan karangan beliau ini dengan kata,
"فهذا شرح لطيف على مختصر
المقنع...."
"maka
(karangan) ini adalah penerangan yang tidak seberapa (kecil/biasa) untuk
ringkasan kitab al-Muqni’(Zad al-Mustaqni)….”.
Merupakan
kata yang sangat mendalam dan jelas terlihat di dalam penulisan ini kerendahan
diri beliau. Walaupun jika dilihat menerusi hasil-hasil karya beliau yang
ditinggalkan dan juga buah fikiran yang telah beliau sumbangkan kepada umat
islam, sangatlah tiada bandingannya berbanding ulama-ulama pada zaman ini.
Ulama
dahulu kala mengarang sebuah karya bukanlah tujuan mereka untuk meraih habuan
duniawi yang menguntungkan, seperti gelaran Doktor, Professor dan sebagainya.
Bukanlah tujuan mereka dalam penulisan untuk meraih ganjaran yang mengenyangkan
perut mereka dan ahli keluarga mereka. Apalagi untuk meraih ribuan like atau
follower seperti yang kita dapat lihat pada zaman sekarang ini,
sangatlah jauh sekali.
Tetapi
mereka menghasilkan sesebuah karya dengan tujuan untuk meraih keredhaan Allah
s.w.t., dan seterusnya agar dapat memberi sedikit manfaat kepada umat Islam
pada masa akan datang. Dengan niat ikhlas itu, Allah beri keberkatan pada
setiap baris kata-kata yang ditulis oleh mereka dan pada setiap usaha yang
telah mereka curahkan untuk Islam.
Jangan
salah tafsir pula. Ini tidaklah bermakna kita perlu tinggalkan segala perkara
keduniawi yang ada pada zaman ini. Juga tidaklah bermakna kita perlu berhenti
melakukan kebaikan atau memberi manfaat dengan alasan agar tidak jatuh dalam
jurang “tidak ikhlas”. Zaman sudah banyak berubah dan hukum pun boleh jadi
berbeza. Teruskanlah berbuat kebaikan dan jadilah pencetus kepada orang lain dalam
membuat kebaikan. Dalam waktu yang sama, marilah kita sama-sama perbetulkan
niat.
Semoga
Allah menjaga dan meluruskan niat kita dalam setiap perbuatan yang kita lakukan
pada zaman yang penuh cabaran dan godaan ini. Semoga Allah juga memberikan
keberkatan pada kehidupan dan umur kita yang tidaklah panjang ini. Jika ulama
terdahulu dengan jangka hayat yang tidak panjang, tetapi dapat menghasilkan
karya-karya yang luar biasa, kenapa kita tidak boleh atau paling kurangpun ada
usaha untuk menuju ke arah itu.
Riyadh
13/2/2017
No comments:
Post a Comment